BAHASA HATI

"Aku tidak melakukan apa-apa kesalahan. Mengapa aku mesti lari dari sini. Dan jalan ini pun sesungguhnya tidak sempit hingga aku terpaksa melapangkannya untuk Amirul Mukminin berjalan" - jawapan Abdullah bin Zubair, yang masih kanak-kanak, ketika ditanya oleh Khalifah Umar Ibnu Khattab r.a. mengapa beliau tidak seperti kanak-kanak lain yang bertempiaran lari ketakutan apabila melihat Sayidina Umar datang.


"HambaMu mengadapMU, hambaMU yang miskin ada di hadapanMU, hambaMU yang peminta ada di hadapanMU, hambaMU yang fakir ada dihadapanMU" - munajat Sayidina Ali bin Hussain r.a., cicit Rasulullah SAW, dengan penuh rasa kehambaan di dalam sujudnya yang panjang pada suatu malam. Doanya itu telah didengari oleh Taus, lalu beliau mengamalkan doa tersebut. Beliau mendapati Allah tidak pernah menghampakan harapannya lantaran doa itu.


"Aku telah diangkat untuk menguruskan kepentingan umat Muhammad. Maka teringatlah olehku nasib orang-orang miskin yang kelaparan, orang-orang sakit yang terlantar, orang-orang merempat dengan pakaian compang-camping, orang-orang asing dan tawanan-tawanan serta orang-orang tua yang tidak berdaya. Allah akan menanyakan tentang mereka itu semua, maka aku khuatir kalau-kalau aku tidak dapat menjawabnya. Itulah sebabnya aku menangis" - jawapan Khalifah Umar Ibnu Aziz ketika ditanya oleh isterinya mengapa beliau menangis. Waktu itu, beliau baru sahaja dilantik menjadi khalifah. 

“Manusia dinilai dengan dua yang paling kecil pada dirinya, iaitu hati dan lidahnya. Jika Allah mengurniakan padanya lidah yang petah, hati yang kuat ingatan, maka sudah tentulah dia yang berhak bercakap. Andaikata semua perkara, wahai Amirul Mukminin, diukur dengan umur, nescaya di kalangan umat ini ada orang yang lebih berhak daripadamu untuk memegang jawatan khalifah” - Seorang kanak-kanak berumur 11 tahun dan mengikuti rombongan perwakilan dari Hijaz untuk mengadap Amirul Mukminin. Dia menjawab teguran Umar Ibnu Aziz yang menyuruhnya duduk untuk memberi keutamaan kepada orang yang lebih tua bercakap dahulu.
“Ingatlah orang yang dapat menahan dirinya daripada meminta-minta, sebenarnya ia membina kesenangan, tiap kegemaran mencipta kecelakaan, tiap kerakusan membawa kepada longgokan dosa-dosa” - Zun Nun Al Misri, wasiatnya kepada pengikutnya.
“Wahai dunia, kalau engkau hendak tipu, janganlah tipu aku. Tipulah orang lain” - Sayidina Ali k.w. berbisik memberitahu hatinya, tatkala sendirian di masjid.